Pastikan 9 perkara ini sebelum balik kampung PKPP


Saat paling mengembirakan kita rakyat Malaysia apabila Perdana Menteri (TMY) mengumumkan 10 haribulan kita sudah dibenarkan merentas negeri sehingga 31 Ogos 2020. Ini bermakna kita berpeluang beraya buat kali kedua selepas satu syawal tempoh hari. Dan pastinya kita dapat menjangkakan kesesakan luar biasa yang akan berlaku mulai hari Rabu.

Dalam kita merancang bila hendak mengambil cuti, bila kita akan pulang ke kampung, ada beberapa perkara yang harus kita utamakan sebagai persediaan pulang beraya kelak.

Mungkin ada yang akan mula ke shopping mall esok untuk membeli barangan raya yang tak dapat dibeli sepanjang tempoh PKP. Inilah masanya nak beraya dan bergaya dengan baki hari raya yang kurang dua minggu. Berbelanja tu beringat dan berpada-padalah.

Kita tidak tahu bagaimana pula situasi dalam masa dua bulan akan datang. Jika Covid-19 terus hilang dari bumi Malaysia ini bersyukurlah… Tetapi jika sebaliknya, kita kemungkinan akan menjalani kehidupan PKP buat kali kedua dan mungkin akan lebih ketat lagi.

Baiklah, saya akan kongsikan 9 TIPS PULANG BERAYA supaya perjalanan kita selamat pergi dan balik.

1. Wat Lek Wat Piss…

Sehari sebelum memulakan perjalanan, ibu-ibu perlulah RILEKS… tenang-tenangkan hati yang sedang ghairah dan berbunga-bunga bercampur baur dengan kesayuan kerana lama tidak bertemu dengan ibu bapa tercinta.

2. Checklist Barang.

Para ibu atau bapa perlulah membuat checklist segala keperluan yang akan dibawa pulang nanti. Pastikan senarai tersebut diguna pakai semasa berkemas supaya tidak terlebih atau terkurang membuat persiapan. Taklah kalut bila dah memulakan perjalanan, baru perasan itu tertinggal lah… ini tertinggal lah…

3. Bekalan Makanan.

Bila dah selesai bab mengemas ni, sediakan juga sedikit bekalan makanan seperti roti, biskut dan air kotak atau air mineral. Pastinya kita akan melalui perjalanan yang lama dari biasa. Dan pastinya R&R akan penuh sesak dengan beribu lagi pengguna jalan raya yang nak balik beraya. Sediakanlah botol kosong kalua-kalau terpaksa digunakan semasa kecemasan hendak membuang air kecil terutamanya bagi anak-anak kecil. Mereka ni yang paling kerap nak menyinggah.

4. Periksa Suis dan punca elektrik dimatikan dan dicabut dari plug.

Sebelum mulakan perjalanan tu, pastikan semua suis lampu dan barang elektrik dimatikan. Cabut plug supaya tidak terjadi litar pintas atau perkara yang tidak diingini berlaku. Jika boleh, barang makanan basah seperti ikan, ayam dan sayuran dihabiskan sebelum pulang ke kampung. Manalah tahu semasa anda bercuti bekalan elektrik terputus pula. Pastinya ia akan rosak dan menyebabkan bau busuk satu rumah nanti.

5. Periksa semua pintu, tingkap dan simpan barang berharga di tempat selamat.

Pastikan juga semua pintu dan tingkap ditutup dengan kemas dan simpan semua kunci ditempat yang selamat. Barang-barang kemas dan duit-duit yang ditinggalkan jika ada perlulah disimpan di tempat yang sukar ditemui. Mintak dijauhkan dari musibah seperti pecah rumah atau kerosakan harta benda seperti kebakaran atau bencana alam yang lain.

6. Semak kali kedua barangan dan ahli keluarga.

Sebelum bergerak tu, tengok balik anak-anak. Manalah tahu ada yang tertinggal. Barangan yang nak dibawa kenalah susun elok-elok supaya ruangan barang dan tempat duduk dalam keadaan teratur dan selesa. Selepas itu bacalah doa naik kenderaan. Ahli keluarga yang lain kenalah sama-sama mengaminkan supaya perjalanan kita selamat pergi dan balik.

7. Amalkan zikir dan berselawat.

Apabila dah bergerak, sambil mulut tu ringan-ringanlah berzikir, istighfar dan berselawat. Mudah-mudahan perjalan kita selamat.

8. Jangan tinggal Solat.

Apabila sampai waktu solat, jika berkesempatan boleh lah lakukan solat jamak & qasar. Dan akhir sekali pastikan anda sudah merancang perjalanan anda jam berapa hendak memulakan perjalanan, tempat mana yang boleh untuk disinggah dan laluan alternative yang boleh dilalui jika anda menghadap jem yang terlalu panjang.

9. Patuhi SOP dan kawalan kendiri yang tinggi.

Akhir sekali, walaupun kita dah dibenarkan merentas negeri dan bergerak ke sana ke sini, kita masih perlu ada kawalan kendiri yang tinggi serta perlu sedar bahawa kita semua bertanggungjawab mengutamakan keselamatan berbanding keseronokan dan kemeriahan pulang ke kampung.







Ulasan